Bacaan Yaa Siin, Tahlil di Kubah Makam Diraja





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Julai. – Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-20, bagi Tahun 2025 telah diadakan hari ini bertempat di Kubah Makam Diraja, di sini.


Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil ini dikhususkan kepada ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Hadir bagi mengetuai rombongan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh johan qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1446 Hijrah / 2025 Masihi, Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin.


Hadir sama, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-20; pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya; persatuan-persatuan belia dan sukan; pasukan-pasukan belia beruniform; institusi-institusi pengajian tinggi dan menengah; belia-belia masjid, serta pihak-pihak yang berkepentingan yang lain.


Hari Belia Kebangsaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini yang lazimnya disambut pada setiap 1 Ogos dengan pengisian pelbagai aktiviti sampingan termasuk aktiviti keagamaan.


Selain itu, Hari Belia Kebangsaan juga merupakan wadah kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia sebagai sokongan kepada usaha dan inisiatif Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan fiskal.


Close